Contengan 001 : Di celah kesibukan manusia

Di Celah Kesibukan Manusia


Hari Selasa adalah merupakan antara hari yang amat memenatkan. Kelas pada hari ini bermula seawal jam 9 pagi dan berakhir pada pukul 6 petang. Kelas 'computing' sebentar tadi tamat pada pukul 5.53 petang. Jam analog besar, berwarna putih tanpa angka di Platfom 2 di Stesen 'Underground Tube' tepat menunjukkan jam 6 petang. Bermaksud, perjalanan ku dari universiti ke sini mengambil masa selama 7 minit. Lama sedikit berbanding kebiasaannya yang hanya mengambil masa selama 5 minit. Lemah mungkin.

Melihat pada papan elektronik yang menunjukkan 'tube' yang seterusnya akan tiba dalam masa 3 minit lagi, aku mula mencari-cari bangku panjang yang terletak di tengah-tengah antara platfom 1 dan 2 yang masih belum didiami manusia. Seperti kebiasaan, mana-mana stesen 'underground tube' yang besar akan penuh dihuni manusia sekitar jam ini kerana baru tamat berkerja.

Bukan setakat dipenuhi oleh orang yang bekerja, banyak pelancong juga kelihatan berada di kawasan ini. South Kensington merupakan antara tempat yang mempunyai banyak daya tariknya sendiri. Selain terdapat Royal Albert Hall yang merupakan tempat artis-artis terkenal dari seluruh dunia membuat persembahan, terdapat juga 3 muzium utama yang merupakan antara tempat yang wajib untuk dilawat jika singgah sebentar di kota London.

Bangku yang paling dekat dengan ku sudahpun dipenuhi beberapa orang manusia. Antara mereka, terdapat seorang lelaki muda yang kelihatan seperti berada di stesen itu keseorangan sambil mendengar lagu yang tersimpan dalam 'ipod' yang sedang berada di tangan kirinya. Kidal mungkin. Namun yang lebih menarik perhatian saya adalah satu pasangan suami isteri yang tengah melewati usia senja kehidupan mereka yang sedang duduk di kawasan paling hujung bangku tersebut. Sudah jelas kelihatan kedutan di raut wajah mereka. Namun masih dapat berbual mesra seperti pasangan kekasih yang masih muda. Aku tersenyum melihat mereka. Unik budaya di sini. Bercinta, memang sehingga tua. Terpancar jelas. Sangat jelas.

Di bangku yang hadapan pula terdapat dua orang makcik yang juga sudah berumur. Berbual gembira. Bercakap sedikit dan kemudiannya sama-sama tergelak. Bersebelahan mereka terdapat beberapa beg plastik kecil daripada 'Science Museum'. Aku tidak dapat mengagak apa yang berada di dalamnya. Namun sepanjang pengalaman ku berada di dalam 'Science Museum', mungkin barang-barang tersebut adalah untuk diberikan kepada cucu-cucu mereka ataupun untuk dijadikan koleksi simpanan di rumah.

Aku mengatur langkahku ke hujung platfom. Longlai. Waktu untuk berbuka puasa sudahpun masuk pada pukul 6 petang sebentar tadi. Belum dapat menjamah apa-apa makanan kerana tidak membawa duit semasa keluar untuk ke universiti sebentar tadi tanpa mengetahui bahawa kad debit sudahpun sampai ke limitnya untuk mengeluarkan di mana-mana ATM.

Alhamdulillah, di celah keramaian manusia, masih terdapat tempat kosong untuk aku melepaskan penat lelahku. Bukan sekadar fizikal, tetapi juga mental. Aku bersandar sambil beg galasku aku letakkan di atas ribaku. Fikiranku aku lontarkan sejauh yang mungkin. Walaupun masih ternampak bermacam-macam ragam manusia; ada yang bergegas mengejar kereta api seterusnya di Platfom 1, ada yang sedang melihat papan tanda untuk mengetahui stesen mana yang kereta api seterusnya akan lalui, ada yang sibuk membelai anjing belaan mereka, ada yang tengah mengejar anak mereka yang berlari di kawasan platfom, ada yang tengah sibuk mengikat kembali helmet basikal pada beg galasnya, ada yang sedang mengusung bagasi besar, namun aku sudah tidak mampu untuk berfikir lagi apa-apa tentang mereka. Pandanganku pada mereka amat kosong. Cuba merehatkan diri.

"This is South Kensington. Change here for Picadilly Line and Circle Line. This is a District Line train to Upminster." Tersedar daripada lamunan. Di hadapanku sudah dipenuhi ramai manusia yang menunggu untuk menaiki 'tube' tersebut. Disebabkan perut terasa sangat kosong, aku membuat keputusan untuk berpadat dengan golongan manusia lain dalam tube tersebut. Namun ianya tidaklah seperti padatnya KTM komuter seperti di Malaysia. Masih terdapat ruang untuk bernafas dan bergerak sedikit. 

Sudah menjadi budaya di sini, golongan emas akan diberi prioriti untuk mendapat tempat duduk. Apabila seorang perempuan yang sudahpun berumur yang berada betul-betul di hadapanku melangkah masuk ke dalam 'tube' tersebut, terus seorang perempuan yang berpakaian serba hitam bangun dari tempat duduknya dan memberi ruang kepada makcik tersebut untuk duduk. Sihat budaya di sini. Membuatkan aku boleh mengukirkan senyuman walaupun sedikit.

Namun di celah-celah keramaian dan kesibukan manusia dengan hal masing-masing di dalam 'tube' tersebut, mata ku tertarik kepada seorang pemuda berjambang nipis yang sedang berdiri sambil tangan kirinya sedang berpaut pada tiang di tengah-tengah 'carriage' untuk mengelakkan diri daripada terjatuh apabila kereta api ini hendak mula bergerak ataupun hendak berhenti. Di bahu kananya, beg sandang berwarna hitam dan sedang mengenakan baju sejuk. Tidak seperti orang lain yang telinga sudahpun disumbat dengan 'earphone' untuk terus asyik berada di dalam dunia sendiri. Ya, aku juga antara golongan tersebut. Namun dia tidak. Dia lain. Berdiri sambil kepala ditundukkan ke bawah.

Dalam kesamaran di celahan ramai manusia, aku dapat melihat mulutnya terkumat-kamit. Aku cuba mencari tangan kanannya. Subhanallah, dalam kesibukan manusia seperti itu, masih ada seorang pemuda muslim yang masih sempat membaca Kalam Allah. Jauh sangat jika hendak dibandingkan dengan diri ini. Hanya menatap Kalam Allah itu apabila mempunyai masa lapang. Itu pun tidak selalu.

Aku tersentap. Bermuhasabah. 

Ya, di celah kesibukan manusia di bumi London ini, masih terdapat pemuda muslim yang masih sempat mencuri masa sebelum pulang ke rumah untuk membaca al-Quran. Dan aku?


*******

2 comments:

Anonymous said...

tersentap dan bermuhasabah...nice sharing!!

Anonymous said...

semoga kita dapat mencontohi dia! Al-Quran tetap dijunjung walau berada di lautan manusia yang layu dek fantasi dunia. hebat sangat!