Disclaimer:
Entri ini bukanlah perkongsian ilmu. Ia adalah luahan perkara-perkara berserabut di akal fikiran penulis. Anda boleh ke blog-blog lain untuk perkongsian ilmiah yang boleh memanfaatkan masa anda. :)
*******
Aku fikir, bersemangat seperti ini sangat bagus. Namun dari sudut lain, aku tidak sedar bahawa semangat ini juga yang kemudiannya mengakibatkan pelbagai jenis konflik. Dengan kawan-kawan, housemates, dan juga mereka yang berada di sekelilingku.
Sejak hari berjumpa dengan senior tutor tersebut, aku sedar bahawa usaha yang aku telah ambil selama ini memang masih belum mencukupi. Perlu lebih banyak masa untuk dilaburkan dalam saham menuntut ilmu ini. Sesampai di rumah, badan dihempas sebentar. Melepaskan lelah yang terzahir pada fizikal dan juga fikiran. Mengosongkan fikiran sambil melihat siling rumah yang putih namun sudah terdapat sedikit keretakan berbentuk L yang lebih kurang sama saiznya dengan saiz sebuah katil. Lamunan, aku biarkan ia terus bermain di benak fikiran. Hampir terlelap dibuai indah oleh lamunan-lamunan tadi.
Ketika hampir melelapkan mata, datang satu perasaan yang tidak sedap. Laju dan pantas untuk menyedarkan. Kesedaran yang terlintas umpama sesuatu yang bercahaya berkelajuan kilat yang melintas dihadapan diriku. Cukup untuk membuatkan diri ini terus segar. Kesedaran yang membuatkan aku segera bangkit dari katil king size dan bergerak terus ke meja belajar ku.
"Aku perlu belajar. Aku perlu belajar. Aku perlu belajar."
Perasaan yang tidak pernah ada sepanjang aku sampai ke bumi orang asing ini. Masih belum pernah aku korbankan masa tidurku semata-mata disebabkan oleh perasaan "aku perlu belajar", ketika mana badanku hanya punya sisa-sisa tenaga yang tinggal. Kugagahi kudrat yang ada. Aku capai plastik yang berlabel Imperial College Union yang kusandarkan di kaki meja sebelah kiri ketika aku sampai ke dalam bilik tadi lantas membukanya. Aku keluarkan dua buah fail yang tebal seperti yang dicadangkan oleh senior tutor pagi tadi, dan juga dua set bekas plastik yang bersaiz A4 untuk diisi oleh kertas-kertas tutorial beserta sebiji 'puncher'.
Aku tetapkan fail biru adalah untuk diisi oleh nota-nota yang diberikan oleh pensyarah manakala yang berwarna hijau untuk diisi oleh kertas-kertas tutorial yang akan diambil setiap kali sama ada sebelum atau selepas kuliah. Meja belajar yang berserabut dikemaskan kembali, mencari semua nota dan kertas-kertas tutorial. Aku punggah kesemua tiga beg yang aku pernah bawa ke kuliah, almari, dan juga tempat letak buku-buku ku. Dikumpulkan dan kemudiannya dipisahkan kepada beberapa kumpulan. Solid Mechanics, Fluid Mechanics, Mechatronics, Mathematics, Materials, Thermodynamics, Stress Analysis, Computing, dan Manufacturing. Semuanya dibuat mengikut arahan senior tutor tanpa ada sedikit pun yang terlepas pandang.
*******
Minggu hadapannya, bermulalah satu episod baru dalam hidupku. Minggu-minggu sebelum ini, kuliahku akan bermula seawal jam 9 pagi dan akan berakhir jam 5 petang. Kemudiannya aku akan terus pulang ke rumah. Kali ini, jadual ke kelas masih lagi seperti biasa, namun masa pulangku untuk ke rumah sudah diubah sedikit. Seperti biasa, aku akan meninggalkan rumah seawal jam 8 pagi kerana perjalanan dari rumah untuk ke universiti akan mengambil masa 50 minit. Itu tidak termasuk 'tube delay', 'tube station' tutup, 'tube strike' dan pelbagai lagi masalah teknikal yang sering terjadi pada kereta api bawah tanah ini sepanjang persediaan London 2012.
Apabila tamat kuliah pada jam 5 petang, aku terus bergerak ke surau Imperial College yang terletak di basement selang beberapa buah rumah sahaja dari Ethos, tempat pelajar-pelajar di sini berekriasi. Aku perlu bekejar untuk mengerjakan solat fardhu maghrib kerana langit di sini sudah gelap dari jam 4 petang lagi. Solat fardhu asar alhamdulillah telah dijamakkan dengan solat fardhu zohor ketika masa rehat pada jam 12 tengah hari hingga jam 2 petang tadi. Pada waktu musim sejuk disini, solat jamak fardhu zuhur dan asar adalah dibenarkan kerana masa yang terlalu singkat antara dua waktu ini. Dan sukar untuk membezakan antara waktu zuhur dan asar.
Nasi goreng, nasi lemak, dan juga nasi chicken tikka yang dijual di atas meja dikawasan luar sedikit dari kawasan solat (aku menggelarnya kawasan lepak) yang berharga 2 pound setiap satunya telahpun habis. Aku berminat dengan cara jualannya. Penjual hanya perlu meninggalkan nasi, tanda harga, dan bekas duit. Dan jual beli berlaku atas kepercayaan dan kejujuran.
Junior common room dan senior common room yang menjual makanan yang murah-murah juga telahpun di tutup pada waktu demikian. Kafe Imperial lebih awal lagi disusun kerusinya di atas meja makan untuk dimop setiap setiap kali selesai tempoh jualan. Yang berbaki hanyalah kafe yang terletak di perpustakaan awam universiti. Harganya usah dikata. Untuk mengalas perut sahaja pun memerlukan sekurang-kurangnya 3 pound. Aku hanya mampu untuk membeli 2 snickers duo dan satu air minuman tenaga. Harganya lebih dari 3 pound. Namun, diskaun kad kolej mengembalikan harganya kepada hampir 3 pound.
Aku masukkannya di dalam beg dan memanjat tangga untuk ke tingkat kedua untuk menghabiskan semua kertas tutorial. Aku tahu, ia mustahil. Namun, cukuplah bagiku jika ia siap walaupun sedikit. Sudah menjadi kebiasaan bagiku, setiap kali hendak membuat latihan, 'earphone' mesti akan berada di telinga untuk mendendangkan muzik-muzik instrumental. Ia menenangkan. Dan ia mambantu aku untuk fokus.
"Salam. Akmal, balik makan malam kat rumah tak hari ni?"
"Wassalam. Tak. Aku balik lewat siket. Aku dah makan. Makan laa dulu."
"Akmal, bilaa nak sampai rumah ni?"
"Aku lambat siket sampai. Tengah ada kerja siket."
"Pulanglah ke rumah anakku."
"Haha. Nanti-nanti aku sampai la insylh"
Aku akan menerima mesej-mesej seperti itu setiap kali aku lambat balik, dan seperti itulah aku akan membalasnya. Bila perut menuntut haknya daripadaku, aku akan keluarkan snickers dan makan sambil menyiapkan kertas-kertas tutorial yang masih banyak belum dijawab. Masing-masing menuntut haknya. Perut, kertas tutorial, dan juga rehat. Bukanlah mudah untuk badan ini bertahan, keluar berjuang daripada rumah seawal jam 8 pagi, dan hanya akan tiba di rumah pada jam 11 malam.
Begitulah rutinku 3-4 hari dalam seminggu.
Hinggakan aku dapat rasakan bahawa kehidupan duniaku hanyalah aku dengan universiti. Tiada masa untuk berukhwah bersama-sama dengan ahli-ahli rumah sendiripun. Dengan rakan sebilik juga semakin kurang. Interaksi ku makin banyak bersama kertas-kertas tutorial dan universiti. Aku hanya akan sampai ke rumah dalam pukul 11 malam. Selalunya, sejurus meletakkan beg, aku akan terus tertidur. Esok, bermulalah aktiviti yang sama.
Hingga hari demi hari, wujud ruang kecil yang menjauhkan sedikit aku daripada mereka. 11 orang semuanya. Dan 7 daripada mereka adalah senior-senior.
******
Namun bagiku, semua itu tidaklah terlalu mengganggu ukhwah antara kami ahli keluarga walaupun ianya memang sedikit sebanyak merenggangkan. Namun, perkara yang berlaku selepas itu yang mewujudkan tembok pemisah.
Aku akan sentiasa ingat hari itu. Hari yang segala-galanya bermula. Suka menjadi duka. Tawa menjadi tangisan. Natural menjadi plastik. Yang berhubung menjadi terpisah. Saat semuanya menjadi tidak kena. Menjadi lebih buruk.
Ianya dua minggu sebelum cuti musim bunga. Ketika aku meninggalkan kota London untuk menziarahi kawan-kawan rapatku di Southampton dan untuk mencari sedikit ketenangan. Untuk membolehkan diri ini kembali bernafas.
Ya, segalanya bermula pada malam itu. Malam aku menjejaki bandar Southampton untuk kali yang kedua. Ketika aku membaca sms yang baru masuk ke dalam telefon bimbitku.
Bersambung...