Legend (Bahagian 2)

Disclaimer:
Entri ini bukanlah perkongsian ilmu. Ia adalah luahan perkara-perkara berserabut di akal fikiran penulis. Anda boleh ke blog-blog lain untuk perkongsian ilmiah yang boleh memanfaatkan masa anda. :)

*******

Mulut tersenyum namun hati terasa kosong. Kerana ianya kosong dari sebelum sampai ke universiti lagi.

Keputusan yang tak pernah dicapai sepanjang 21 tahun menghuni bumi Allah ini. Tujuh subjek. Dua A. Dan yang selainnya gagal. :)

Akal memujuk juga hati untuk tetap bersyukur. Sekurang-kurangnya masih ada 2A. Ada sahaja yang gagal keseluruhan mata pelajaran yang diambil.

Bersyukur sekurang-kurangnya Allah masih lagi memberi nikmat untuk masih boleh menuntut ilmu dengan mudah tanpa kesukaran mencari wang ringgit.

Memujuk hati untuk bersyukur, sekurang-kurangnya diri ini masih di sini untuk meneruskan sisa perjuangan. Sekurang-kurangnya ia menimbulkan kesedaran untuk lebih bersungguh-sungguh dan menjauhi aktiviti sia-sia.

Lalu diri ini kembali melapangkan dadanya. :)

*******

Seminggu kemudian. Ketika diri ini sudah kembali tenang. Masuk satu emel daripada senior tutor, merangkap ketua mechanical engineering department.

"Due to your bad performance on your winter tests, I would like to see you in my office on this coming Friday, 8 am."

Aku tahu keputusanku agak teruk. Tapi tak pernah sangka hingga akan dipanggil oleh ketua department. Bermakna, ianya sangat serius meskipun ia hanyalah ujian biasa yang tidak akan dikira masuk dengan semua peperiksaan akhir lain.

*******

Jumaat. Memang terasa sangat berat dan terbeban untuk meninggalkan rumah seawal jam 7 pagi semasa musim sejuk! Ia sungguh mencabar.

Tidak sempat untuk bersarapan pagi, tangan mencapai baju sejuk, kunci rumah, oyster card, dan dompet. Terasa sangat iri hati ketika menuruni tangga rumah dari tingkat tiga. Ketika aku sudah perlu keluar seawal jam 7 pagi, mereka sedap dibuai mimpi. Terdampar di ruang tamu, di bilik besar yang pintu tidak tertutup beramai-ramai. Tertidur semula selepas bacaan al-mathurat dan bacaan kitab riyadhus solihin.

Mata hanya mampu mengerling. Hati hanya mampu bersabar. Memujuk, "tak apa, hanya sehari ini sahaja. bersabarlah."

*******

Hari tidak lagi terang sepenuhnya ketika sampai di pintu masuk imperial college london. Tepat jam 7.50 pagi ketika itu. Ada lagi 10 minit sebelum janji temu dengan senior tutor. Sempat dahulu bersarapan dengan Snickers Duo dan air mineral Avian yang dibeli di Kedai Treats ketika keluar dari tube di stesen kereta api bawah tanah South Kensington.

*******

Jam 8 pagi. Aku giliran yang kedua selepas seorang lelaki mat salleh untuk memasuki ke pejabat senior tutor tersebut.

"Okay! You may come in. Please have a seat."

"What's your CID Number?"

Namaku dicari di komputernya. Dan markah keseluruhan ujianku ditunjukkan kepadaku.

Aku hanya terdiam. Membisu. Tiada sepatah kata yang mampu dikeluarkan. Hanya mampu menunggu dia berkata-kata dahulu.

"Explain this."


Bersambung...

No comments: